Performance Studies Mempersoalkan Tubuh, Bukan Mempersembahkan Tubuh

Selasa, 8 September 2026 - 16:04 WITA

facebook twitter whatsapp telegram line copy

URL berhasil dicopy

facebook icon twitter icon whatsapp icon telegram icon line icon copy

URL berhasil dicopy

Para penari mementaskan tarian Shadow, garapan Mohammad Adlam bin Sairin, di Tinta Pesona, UPSI, pada 28–29 Ogos 2026. (Foto: Lombokini.com/Istimewa)

Para penari mementaskan tarian Shadow, garapan Mohammad Adlam bin Sairin, di Tinta Pesona, UPSI, pada 28–29 Ogos 2026. (Foto: Lombokini.com/Istimewa)

Oleh: Salman Faris

Tulisan ini merupakan respons terhadap persembahan tari bertajuk Shadow, yang dikoreografikan oleh Mohammad Adlam bin Sairin. Persembahan tersebut berlangsung pada 28-29 Ogos 2026 di Tinta Pesona, UPSI.

Oleh sebab Shadow dipersembahkan dalam konteks Performance Studies, terdapat harapan untuk menemukan kelainan dalam cara tubuh diperlakukan dan dipersembahkan. Terdapat keinginan menemukan sekurang-kurangnya satu adegan yang saya dapat berkata, “Ya, ini memang Performance Studies.”

Misalnya, keseragaman gerak tidak lagi menjadi perhatian utama, kesedaran terhadap bentuk tidak terlalu dikawal, dan kesatuan persembahan tidak dibina melalui ketelitian yang berlebihan sebagaimana yang sering dipersoalkan dalam seni persembahan.

Oleh sebab itu, tulisan ini ingin membawa perbincangan kepada persoalan tubuh, dengan harapan dapat menjadi salah satu rujukan kepada para pelajar saya dalam menghasilkan karya Performance Studies. Perbincangan tentang tubuh ini penting agar penghasilan karya tidak terhenti pada persoalan bagaimana tubuh dipersembahkan, tetapi turut mempertimbangkan bagaimana tubuh dibentuk, diatur, mengalami pelbagai pengalaman, serta mempunyai kemungkinan untuk menunjukkan perbezaan dan tentangan terhadap sistem yang membentuknya. Termasuklah sistem dalam koreografi itu sendiri.

Dalam sesuatu persembahan tari, tubuh lazimnya hadir sebagai sesuatu yang dapat dilihat. Tubuh bergerak, membentuk garis, menghasilkan tenaga, menunjukkan kelenturan dan memenuhi ruang persembahan. Tubuh dapat dilihat sebagai tinggi, rendah, gagah, lembut, kuat, lentur atau anggun. Kehadiran tubuh di hadapan penonton sering kali menjadikannya sesuatu yang dapat dinilai berdasarkan bentuk dan gerak. Dalam keadaan demikian, tubuh mudah diterima sebagai sesuatu yang telah selesai iaitu telah memiliki bentuk, makna dan fungsi untuk dipersembahkan.

Performance Studies membawa persoalan tersebut ke wilayah yang lebih kritis. Tubuh yang hadir di ruang persembahan tidak pernah hadir begitu sahaja. Tubuh mempunyai sejarah, pengalaman, kebiasaan, latihan, ingatan dan lingkungan sosial yang membentuk cara tubuh bergerak serta memberikan respons terhadap dunia. Setiap tubuh mempunyai rakam jejak tubuh yang tersendiri. Rakam jejak tersebut membezakan satu tubuh daripada tubuh yang lain. Oleh sebab itu, tubuh tidak pernah sepenuhnya dapat diseragamkan, walaupun berada dalam sistem latihan, norma, koreografi dan aturan yang sama.

Di sinilah persoalan tubuh menjadi penting dalam Performance Studies. Pertanyaan tidak berhenti pada apa yang dilakukan oleh tubuh di atas pentas. Persoalan yang lebih mendasar berkaitan dengan bagaimana tubuh menjadi tubuh yang demikian, siapa yang membentuknya, norma yang bekerja di dalamnya, cara tubuh menerima aturan dan titik ketika tubuh tidak lagi sepenuhnya tunduk kepada aturan yang mengaturnya.

Persoalan tersebut mempunyai hubungan yang kuat dengan pemikiran Simone de Beauvoir. Dalam The Second Sex, Beauvoir memperlihatkan bahawa tubuh tidak dapat difahami hanya melalui keadaan biologisnya. Tubuh berada dalam situasi sosial dan sejarah tertentu. Pernyataan Beauvoir yang terkenal, bahawa seseorang tidak dilahirkan sebagai perempuan, tetapi menjadi perempuan, membuka perhatian kepada proses pembentukan tubuh dalam kehidupan sosial. Pembacaan terhadap Beauvoir juga menunjukkan kepentingan tubuh sebagai situasi dan pengalaman hidup yang bersifat konkrit.

Bagi Performance Studies, gagasan tersebut membawa implikasi penting. Tubuh penari tidak dapat difahami hanya sebagai tubuh biologis yang memiliki kemampuan tertentu. Tubuh penari merupakan tubuh yang telah melalui proses menjadi. Tubuh telah mengalami latihan, disiplin, pendidikan, kebudayaan, lingkungan, hubungan dengan guru, koreografer, keluarga dan masyarakat. Tubuh tersebut mempunyai sejarah yang menjadikannya berbeza daripada tubuh yang lain.

Namun, mengatakan bahawa tubuh dibentuk oleh masyarakat tidak bermaksud bahawa masyarakat memiliki kuasa mutlak terhadap tubuh. Di sinilah persoalan tentang asal-usul tubuh menjadi penting. Asal-usul tubuh dalam gagasan ini tidak merujuk kepada hakikat biologis yang tetap. Asal-usul merujuk kepada rakam jejak yang dibawa oleh setiap tubuh sepanjang proses kehidupannya. Rakam jejak tersebut menjadikan setiap tubuh mempunyai pengalaman yang tidak sepenuhnya dapat dipindahkan kepada tubuh lain.

Dua orang penari dapat menerima latihan yang sama, melakukan koreografi yang sama dan mengikuti arahan yang sama. Namun, tubuh kedua-duanya tetap mempunyai sejarah yang berbeza. Satu gerakan yang sama tidak semestinya mempunyai pengalaman tubuh yang sama. Satu gestur yang sama tidak semestinya menghasilkan makna yang sama. Kesamaan bentuk gerak tidak menjamin kesamaan sejarah tubuh.

Persoalan tersebut semakin tajam apabila dibaca melalui Judith Butler. Butler mengembangkan pemikiran tentang bagaimana norma, pengulangan dan praktik sosial menghasilkan tubuh yang dapat dikenali dalam kerangka sosial tertentu. Performativity dalam pemikiran Butler tidak bermaksud bahawa identiti dipilih secara bebas. Performativity berkaitan dengan pengulangan tindakan dan norma yang menghasilkan kestabilan identiti secara sosial. Tubuh dimaterialkan melalui proses pengulangan normatif tersebut.

Dalam konteks persembahan tari, pemikiran Butler membantu memperlihatkan bahawa tubuh penari tidak pernah berada di luar norma. Tubuh dilatih untuk bergerak dengan cara tertentu. Tubuh belajar cara berdiri, berjalan, duduk, melompat, jatuh, memandang dan memberikan respons. Bahkan emosi dapat mempunyai bentuk tubuh yang telah dikenali secara sosial. Kesedihan, misalnya, dapat dipersembahkan melalui tubuh yang membungkuk, gerak yang perlahan, kepala yang tertunduk atau tangan yang menutup wajah.

Baca Juga :  Polemik Seputar Hari Jadi Lombok Timur: 'Onder Afdeling'

Namun, persoalan tidak berhenti pada kenyataan bahawa kesedihan memiliki bentuk sosial. Performance Studies dapat mengajukan pertanyaan yang lebih mengganggu yakni mengapa kesedihan harus mempunyai bentuk tertentu?

Pertanyaan tersebut mengubah cara tubuh dilihat. Apabila seorang penari membungkukkan tubuh dan penonton mengatakan bahawa tubuh tersebut sedang bersedih, suatu sistem pembacaan tertentu sebenarnya sedang digunakan. Bentuk tubuh telah dipelajari dan dihubungkan dengan makna kesedihan. Bahasa sosial tentang bagaimana kesedihan seharusnya tampak telah terbentuk.

Di sinilah rakam jejak tubuh menjadi penting. Setiap orang mempunyai sejarah kesedihan yang berbeza. Ada tubuh yang ketika bersedih menjadi diam. Ada tubuh yang menjadi agresif. Ada tubuh yang menangis. Ada tubuh yang tertawa. Ada tubuh yang menghindar. Ada tubuh yang tidak menunjukkan apa-apa secara lahiriah. Tidak ada satu bentuk tubuh yang dapat menampung seluruh pengalaman kesedihan manusia.

Maka, apabila persembahan menentukan satu bentuk tubuh sebagai representasi kesedihan, persoalan Performance Studies tidak sekadar berkaitan dengan keberhasilan penari menampilkan kesedihan tersebut. Persoalannya berkaitan dengan apa yang terjadi kepada kompleksiti tubuh ketika kesedihan dipadatkan menjadi satu bentuk yang dapat dikenali.

Di sini terdapat ketegangan antara tubuh yang diatur dan tubuh yang melawan. Tubuh yang diatur ialah tubuh yang bekerja dalam sistem. Tubuh belajar aturan, mengikuti teknik, mengulang gerakan, menyesuaikan diri dengan ruang dan menerima disiplin koreografi. Tubuh sedemikian diperlukan dalam hampir semua bentuk persembahan. Tanpa latihan, repetisi dan disiplin, sesuatu koreografi sukar diwujudkan. Tubuh penari perlu memiliki kemampuan untuk mengingat, mengulang dan menyesuaikan gerakan. Namun pada masa yang sama, tubuh juga perlu melawan.

Pemikiran Richard Schechner tentang restored behaviour membantu menjelaskan keadaan tersebut. Schechner melihat performance melalui perilaku yang telah dilakukan, dilatih, disusun dan dipulihkan dalam konteks baharu. Perilaku dapat dipisahkan daripada asal-usulnya, disusun kembali dan digunakan untuk menghasilkan tindakan performatif. Konsep restored behaviour menjadi salah satu konsep penting dalam Performance Studies kerana menunjukkan bahawa tindakan dalam performance mempunyai hubungan dengan tindakan yang telah dipelajari dan diulang.

Namun, konsep tersebut juga membuka ruang kepada persoalan yang lebih jauh. Apa yang terjadi apabila perilaku yang sama masuk ke dalam tubuh yang berbeza? Gerakan boleh diulang. Tubuh yang mengulanginya tidak pernah benar-benar sama. Koreografi boleh direstorasi. Rakam jejak tubuh tidak pernah dapat direstorasi secara sempurna.

Dua penari dapat mengulangi satu gerakan dengan ketepatan teknik yang hampir sama, tetapi tubuh kedua-duanya membawa pengalaman yang berbeza ketika gerakan tersebut dilakukan. Bahkan tubuh yang sama tidak pernah benar-benar kembali kepada keadaan sebelumnya. Tubuh berubah mengikut waktu. Keletihan dan pengalaman berubah, hubungan dengan ruang berubah dan kesedaran terhadap gerak juga berubah.

Oleh sebab itu, repetisi pergerakan dalam setiap komposisi-koreografi tidak semestinya menghasilkan keseragaman mutlak. Repetisi dapat menghasilkan perbezaan. Dalam konteks ini, tubuh menjadi menarik kerana bekerja dalam sistem, tetapi tidak pernah habis dijelaskan oleh sistem tersebut.

Tubuh yang diatur mempunyai batasan. Sistem dapat mengatur tubuh, tetapi tidak dapat memiliki seluruh sejarah tubuh. Koreografi dapat menentukan gerakan, tetapi tidak dapat menghapus seluruh pengalaman yang dibawa tubuh. Norma dapat memberikan kategori, tetapi tidak dapat memastikan bahawa semua tubuh akan mengalami kategori tersebut dengan cara yang sama.

Di sinilah tubuh yang melawan muncul.Tubuh yang melawan tidak harus difahami sebagai tubuh yang sepenuhnya bebas daripada aturan. Tidak ada tubuh yang berdiri di luar seluruh norma sosial. Tubuh yang melawan ialah tubuh yang menunjukkan bahawa aturan tidak pernah sepenuhnya selesai menguasai tubuh.

Perlawanan dapat muncul melalui penyimpangan kecil. Tubuh terlambat mengikuti ritma. Tubuh mengubah intensiti gerakan. Tubuh menolak kesempurnaan teknik. Tubuh memperlihatkan kelelahan. Tubuh menghasilkan gerakan yang tidak dirancang. Tubuh membawa pengalaman peribadi ke dalam gerakan. Tubuh mempertahankan perbezaannya ketika sistem menghendaki keseragaman.

Dengan demikian, perlawanan tidak berada di luar tubuh yang diatur. Perlawanan muncul dari dalam tubuh yang telah diatur. Masyarakat menghasilkan norma. Institusi menghasilkan disiplin. Koreografer menghasilkan aturan. Latihan menghasilkan kebiasaan. Semua proses tersebut membentuk tubuh. Namun, tubuh mempunyai jejak rakam yang membuat proses pembentukan tersebut tidak pernah berlangsung secara mutlak dan seragam.

Tubuh menjadi ruang pertemuan antara aturan dan sejarahnya sendiri. Pada titik ini, tubuh dapat difahami sebagai suatu mekanisme yang bekerja dalam sistem, tetapi mekanisme tersebut tidak bekerja secara identik pada setiap tubuh. Setiap tubuh mempunyai cara tersendiri untuk menerima, mengolah, mengulang dan menyimpang daripada aturan. Tubuh membawa sejarahnya ke dalam sistem.

Baca Juga :  Bermasalah: Roadmap Kebudayaan NTB 2027-2047

Persoalan ini penting bagi estetika performance. Estetika persembahan sering kali menilai tubuh berdasarkan kemampuan menghasilkan bentuk yang dianggap indah. Tubuh yang kuat, gagah, lentur, proporsional, anggun atau terlatih dapat memperoleh nilai estetika tertentu. Penilaian tersebut tampak seperti penilaian terhadap tubuh yang hadir di hadapan mata. Namun, Performance Studies dapat menggeser pertanyaan tersebut kepada proses yang menghasilkan kategori estetika itu. Mengapa tubuh tertentu disebut cantik? Mengapa tubuh tertentu dianggap kuat? Mengapa gerak tertentu dianggap gagah? Mengapa kelembutan dikaitkan dengan tubuh tertentu? Mengapa kesedihan harus terlihat dengan cara tertentu? Mengapa tubuh penari harus mencapai bentuk tertentu agar dianggap berhasil?

Pertanyaan-pertanyaan tersebut membawa perhatian daripada tubuh sebagai objek visual kepada tubuh sebagai persoalan sosial dan performatif. Dengan demikian, tubuh yang cantik, kuat, gagah tidak perlu ditolak. Persoalan terletak pada sistem makna yang menjadikan kategori tersebut sebagai ukuran tertentu terhadap tubuh.

Performance Studies dapat bertanya tentang bagaimana kategori estetika bekerja terhadap tubuh. Ketika satu bentuk tubuh dianggap ideal, tubuh yang tidak mencapai bentuk tersebut berpotensi dianggap kurang, gagal atau tidak sesuai. Keseragaman estetika kemudian dapat membunuh kompleksiti tubuh yang sebenarnya.

Estetika yang lebih radikal ialah estetika yang memberikan ruang kepada tubuh untuk menunjukkan ketidaksempurnaan pengaturan. Estetika tersebut tidak menentukan satu bentuk tubuh sebagai model perlawanan. Ruang diberikan agar perbezaan, ketegangan, penyimpangan, kegagalan, kelelahan, ingatan dan pengalaman tubuh dapat muncul dalam performance. Dengan cara demikian, performance tidak sekadar menunjukkan tubuh kepada penonton. Performance membuat penonton berhadapan dengan persoalan tentang tubuh itu sendiri.

Tubuh yang dipersembahkan sebagai sesuatu yang telah selesai dapat diterima melalui penglihatan. Tubuh yang dipersoalkan menuntut penonton untuk bertanya. Ketika melihat tubuh yang kuat, pertanyaan diarahkan kepada bagaimana kekuatan tersebut dibentuk. Ketika melihat tubuh yang sedih, pertanyaan diarahkan kepada bagaimana kesedihan memperoleh bentuk. Ketika melihat tubuh yang gagah, pertanyaan diarahkan kepada mengapa kegagahan mempunyai nilai tertentu. Ketika melihat tubuh yang seragam, pertanyaan diarahkan kepada apa yang telah hilang daripada tubuh-tubuh tersebut.

Maka, Performance Studies mempunyai kepentingan yang besar dalam menggeser perhatian daripada apa yang dipersembahkan tubuh kepada bagaimana tubuh menjadi mungkin untuk dipersembahkan. Beauvoir membantu membuka pemahaman bahawa tubuh berada dalam situasi dan proses menjadi. Butler memperlihatkan bagaimana norma dan pengulangan membentuk tubuh yang dapat dikenali. Schechner menunjukkan bagaimana tindakan dapat direstorasi, diulang dan disusun kembali dalam performance. Ketiga-tiganya memberikan dasar penting untuk memahami tubuh sebagai sesuatu yang terbentuk dalam hubungan dengan dunia sosial.

Namun, daripada pertemuan ketiga-tiga pemikiran tersebut dapat diajukan satu persoalan lanjutan iaitu jika tubuh dibentuk, dinormalkan dan diulang, apakah tubuh pernah sepenuhnya selesai dibentuk?

Jawapannya terletak pada rakam jejak tubuh. Tubuh mempunyai asal-usul dalam pengertian sejarah yang dibawanya. Sejarah tersebut tidak menjadikan tubuh sebagai sesuatu yang memiliki esensi tetap. Sejarah tersebut menjadikan tubuh sebagai sesuatu yang singular. Setiap tubuh membawa pengalaman pembentukannya sendiri. Setiap tubuh memasuki sistem dengan sejarah yang berbeza. Setiap tubuh menerima norma melalui keadaan yang berbeza. Setiap tubuh mengulang tindakan melalui rakam jejak yang berbeza.

Oleh sebab itu, masyarakat dapat membentuk tubuh, tetapi tidak dapat sepenuhnya menghapus asal-usul tubuh. Sistem dapat mengatur tubuh, tetapi tidak dapat menjamin keseragaman mutlak. Koreografi dapat menentukan gerakan, tetapi tidak dapat memastikan bahawa setiap tubuh mengalami dan menjalankan gerakan tersebut dengan sejarah yang sama.

Sekali lagi, di sinilah tubuh yang melawan menjadi penting. Tubuh yang melawan ialah tubuh yang memperlihatkan bahawa proses pengaturan tidak pernah sempurna. Tubuh mengingatkan bahawa di sebalik tubuh yang tampak teratur terdapat sejarah yang panjang. Di sebalik gerakan yang tampak seragam terdapat pengalaman tubuh yang berbeza. Di sebalik bentuk estetika yang tampak selesai terdapat proses pembentukan yang terus berlangsung.

Tubuh yang dipersembahkan cenderung hadir sebagai tubuh yang telah diberi bentuk dan makna. Tubuh yang dipersoalkan hadir sebagai tubuh yang masih menyimpan kemungkinan. Performance Studies, dengan demikian, tidak berhenti pada tubuh yang dipersembahkan. Performance Studies mempersoalkan bagaimana tubuh diproduksi, bagaimana tubuh diatur, apa yang hilang ketika tubuh diseragamkan dan bagaimana tubuh masih mampu melawan melalui sejarah yang dibawanya.

Kerana itulah, sepatutnya ketegangan antara seni persembahan dan Performance Studies sangat penting terus disuburkan.

 

Malaysia, 8 September 2026

Penulis : Salman Faris

Sumber Berita : Opini

Berita Terkait

Polemik Seputar Hari Jadi Lombok Timur: ‘Onder Afdeling’
Tambang Menggali, Pangan Mulai Berkurang
Lombok Timur Tiba-tiba 131 Tahun: Sang Keliru Carente Mikir
Sejarah Lahirnya Lombok Timur: ‘Onder Afdeling’
Wilayah Wisata Sembalun Diakui UNESCO, tapi Sembalun Bumbung Kurang Diperhatikan Pemerintah
Sejarah Lahirnya Lombok Timur
Pertanian Lombok Timur Tumbuh 5,08 Persen, Momentum Baru Ekonomi Daerah
Bermasalah: Roadmap Kebudayaan NTB 2027-2047

Berita Terkait

Minggu, 6 September 2026 - 21:43 WITA

Buka FTBI 2026 Selong: Dikbud Tegaskan Larangan Siswa Bawa Motor dan Angin Segar Bagi 4.889 Guru Paruh Waktu

Minggu, 6 September 2026 - 06:48 WITA

Dukung Edaran Dikbud, Satlantas Polres Lotim Siap Tertibkan Pelajar Pengendara Motor

Sabtu, 22 Agustus 2026 - 18:46 WITA

HMPS SI FT Unham Gelar Seminar Pangan Hadirkan Sekda Lotim

Selasa, 18 Agustus 2026 - 19:55 WITA

Mahasiswa KKN ITSKes Muhammadiyah Selong Gelar Sosialisasi dan Pemberian Makanan Tambahan bagi 55 Balita Stunting

Selasa, 4 Agustus 2026 - 21:35 WITA

Wabup Lotim Tinjau SMPN 2 Selong, Soroti Fasilitas Minim dan Komite Vakum 6 Tahun

Senin, 3 Agustus 2026 - 16:31 WITA

Di Sisi Megah Pendopo, Siswa SMPN 2 Selong Terpaksa Belajar Tanpa Meja dan Buang Air ke Toilet Masjid

Sabtu, 18 Juli 2026 - 16:44 WITA

Empat Mahasiswa Universitas Hamzanwadi Raih Juara I PEKSIMIDA, Siap Wakili NTB ke PEKSIMINAS

Minggu, 12 Juli 2026 - 21:59 WITA

80 Sekolah Penerima Bantuan Revitalisasi 2026

Berita Terbaru